Kira-kira 100 orang peserta telah mengikuti forum ini dari awal sampai habis yang mana ianya berlangsung selama lebih 3 jam. Forum ini telah dipaneli oleh YBhg Prof Tan Sri Dr Nordin Kardi iaitu penyandang kerusi Za'aba UPSI dan juga merupakan bekas Presiden GPMS pada tahun 1995 - 1997, YB Datuk Zulkifli Nordin iaitu Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru yang juga merupakan Naib Presiden PERKASA, Prof Madya Dr Asri Zainul Abidin iaitu Mantan Mufti Perlis. Moderatornya pula adalah Prof Madya Dr Mohd Ridwan Tee Abdullah iaitu Pensyarah Kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia yang juga penulis buku 'Nasib Melayu di Bumi Melayu'.
Antara isu-isu yang sempat dibangkitkan semasa seminar tadi yang saya masih ingat lagi ialah pemimpin-pemimpin UMNO ataupun wakil-wakil rakyat dari komponen BN yang menang PRU 12 mempunyai tindak-tanduk seperti orang kalah. Malah ada juga suara peserta yang mahukan transformasi hendaklah dibuat bukan saja di peringkat rakyat tetapi di peringkat kepimpinan juga hendaklah ditransformasikan juga keran rakyat sudah muak dengan kepimpinan yang sedia ada. Ada juga yang mencadangkan agar Majlis Ulama hendaklah ditubuhkan semula dalam UMNO.
Adalah amat bersesuaian Program seperti ini diadakan di saat nasib bangsa dan seagama kita sekarang ini amat tercabar. Tujuan forum ini diadakan juga adalah untuk mengumpul dan mencari kaedah dan cara untuk mempastikan negara ini sentiasa aman dan makmur di samping tidak mengenepikan atau menafikan hak dan perasaan bangsa lain yang turut serta membangunkan negara ini. Di forum ini juga ada dibahaskan agar kesepakatan antara UMNO dan PAS hendaklah dicapai supaya nasib agama islam dan bangsa melayu di negara ini tidak dapat digugat oleh agama dan bangsa yang lain. Tidak kira apa keadaan sekalipun, PAS dan UMNO ini hendaklah duduk semeja apabila ada isu yang berkaitan dengan Islam dan melayu dibangkitkan. Setuju atau tidak itu belakang cerita asalkan ketolak-ansuran kedua-dua parti ini untuk duduk semeja dapat dilihat oleh rakyat dan parti-parti lain.
Pengharapan rakyat kepada UMNO juga dapat dilihat sekarang ini sudah berkurangan. UMNO yang dulunya dapat memberi harapan kepada rakyat dilihat sekarang ini sebagai sudah tidak relevan dan pengharapan itu beralih kepada parti pembangkang yang sering menaburkan janji-janji. Malah penubuhan PKR juga dilihat sebagai faktor utama negara ini berkedudukan kucar kacir. Akhir kata, nasib Malaysia terletak di tangan pengundi samada mahu Islam dan melayu masih lagi mempunyai kuasa ataupun mungkin kuasa ekonomi dan politik juga akan dipelupori oleh bangsa lain.
No comments:
Post a Comment