Followers

Sunday, November 27, 2011

Salam Maal Hijrah 1433

Apabila tiba tahun baru dalam kalendar masihi seringkali kita mendengar ucapan selamat tahun baru. Akan tetapi apabila tibanya tahun baru dalam kalendar hijrah amat jarang sekali kita mendengar ucapan sebegitu. Malah mungkin ramai yang sudah lupa atau langsung tidak tahu bilakah taikhnya maal hijrah. Atau mungkin ada yang tahu tetapi tidak pasti tahun hijrah yang ke berapa. Begitulah hasilnya apabila kalendar hijrah ini semakin dilupakan. Yang kita ingat hanyalah bulan Syawal dan Ramadhan sahaja. Nasib baik kerajaan malaysia mengisytiharkan maal hijrah sebagai cuti umum.

Semalam (26 November 2011) saya sempat meluangkan masa untuk turut serta bersama-sama menjayakan program Sambutan Maal Hijrah 1433 di Akademi Kenegaraan, Jalan Bellamy anjuran Pertubuhan Penggerak Transformasi Malaysia (PerTaMa). Antara aturcara program ini ialah Pesta Durian & Buah-buahan pada sebelah petang. Dan sebelum maghrib diadakan bacaan Doa Akhir Tahun. Doa Awal Tahun pula dibaca selepas solat maghrib.

Kemudiannya selepas isyak diadakan pula forum yang bertajuk Generasi Al Quran & Masyarakat Rabbani. Forum ini dipengerusikan oleh Ustaz Rosdi Long dan ahli panelnya pula ialah Ustaz Fathul Bari bin Mat Yahya dan Ustaz Muhamad Fauzi bin Asmuni. Mengulas sedikit mengenai generasi Al Quran yang dibahaskan dalam forum ini oleh Ustaz Fathul Bari, generasi Al Quran kini ada 5 langkah untuk berjaya iaitu 1) beriman dengan Al Quran 2) membaca Al Quran 3) memahami maksud Al Quran 4)menghayati Al Quran dan 5) menyebarkan ayat Al Quran. Dan sedikit ulasan mengenai masyarakat Rabbani dalam konteks negara Malaysia ini agak bagus kerana ramai masyarakatnya mengamalkan hidup cara Islam.

Paling mendapat perhatian saya pada program ini ialah Presiden PerTaMa kerana beliau juga adalah bekas Presiden GPMS pada tahun 1972-1974 dan 1978-1983 iaitu Tuan Haji Yusof Suhaimie atau lebih mesra dengan nama panggilan Pak Usop. Dan sudah pasti ini adalah satu pertemuan yang amat bermakna buat saya apabila dapat berdepan dan bersembang bersama-sama beliau. Walaupun agak singkat masa pertemuan dengan beliau tetapi perkongsian ilmu dan pengalaman yang sempat disampaikan amatlah saya hargai. Malah suntikan semangat juga dapat beliau serapkan ke dalam diri saya ini. InsyaAllah kalau ada rezeki pasti kita akan bertemu lagi.

Sesudah selesai program sambutan maal hijrah itu, saya pun ke masjid Sri Petaling dimana terkenal dengan nama Markas Jemaah Tabligh. Buat pertama kalinya saya menjejakkan kaki ini di masjid tersebut setelah sekian lama mendengar cerita dan ajakan kawan-kawan jemaah tabligh mengenai masjid tersebut. Alhamdulillah sambutan maal hijrah saya pada tahun ini dapat saya isikan dengan program ilmu agam ini. InsyaAllah semoga maal hijrah kali ini dapat membuka lembaran baru dalam hidup saya dan kehidupan-kehidupan ummat Islam semuanya.

No comments:

Post a Comment