Followers

Tuesday, November 29, 2011

Seminar Agenda Melayu

Seminar Agenda Melayu Ke 7 : Islam & Melayu Pasca PRU 13. Inilah nama forum yang telah saya ikuti pada hari ini. Bertempat di Dewan Seri Endon,tingkat 23,Menara Dato' Onn, PWTC bersempena dengan Persidangan Agung UMNO. Forum ini telah dianjurkan oleh Pertubuhan Alumni Kelab-kelab UMNO Luar Negara dan dirasmikan oleh YB Datuk Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi iaitu naib presiden UMNO yang juga Menteri Pertahanan Malaysia.

Kira-kira 100 orang peserta telah mengikuti forum ini dari awal sampai habis yang mana ianya berlangsung selama lebih 3 jam. Forum ini telah dipaneli oleh YBhg Prof Tan Sri Dr Nordin Kardi iaitu penyandang kerusi Za'aba UPSI dan juga merupakan bekas Presiden GPMS pada tahun 1995 - 1997, YB Datuk Zulkifli Nordin iaitu Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru yang juga merupakan Naib Presiden PERKASA, Prof Madya Dr Asri Zainul Abidin iaitu Mantan Mufti Perlis. Moderatornya pula adalah Prof Madya Dr Mohd Ridwan Tee Abdullah iaitu Pensyarah Kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia yang juga penulis buku 'Nasib Melayu di Bumi Melayu'.

Antara isu-isu yang sempat dibangkitkan semasa seminar tadi yang saya masih ingat lagi ialah pemimpin-pemimpin UMNO ataupun wakil-wakil rakyat dari komponen BN yang menang PRU 12 mempunyai tindak-tanduk seperti orang kalah. Malah ada juga suara peserta yang mahukan transformasi hendaklah dibuat bukan saja di peringkat rakyat tetapi di peringkat kepimpinan juga hendaklah ditransformasikan juga keran rakyat sudah muak dengan kepimpinan yang sedia ada. Ada juga yang mencadangkan agar Majlis Ulama hendaklah ditubuhkan semula dalam UMNO.

Adalah amat bersesuaian Program seperti ini diadakan di saat nasib bangsa dan seagama kita sekarang ini amat tercabar. Tujuan forum ini diadakan juga adalah untuk mengumpul dan mencari kaedah dan cara untuk mempastikan negara ini sentiasa aman dan makmur di samping tidak mengenepikan atau menafikan hak dan perasaan bangsa lain yang turut serta membangunkan negara ini. Di forum ini juga ada dibahaskan agar kesepakatan antara UMNO dan PAS hendaklah dicapai supaya nasib agama islam dan bangsa melayu di negara ini tidak dapat digugat oleh agama dan bangsa yang lain. Tidak kira apa keadaan sekalipun, PAS dan UMNO ini hendaklah duduk semeja apabila ada isu yang berkaitan dengan Islam dan melayu dibangkitkan. Setuju atau tidak itu belakang cerita asalkan ketolak-ansuran kedua-dua parti ini untuk duduk semeja dapat dilihat oleh rakyat dan parti-parti lain.

Pengharapan rakyat kepada UMNO juga dapat dilihat sekarang ini sudah berkurangan. UMNO yang dulunya dapat memberi harapan kepada rakyat dilihat sekarang ini sebagai sudah tidak relevan dan pengharapan itu beralih kepada parti pembangkang yang sering menaburkan janji-janji. Malah penubuhan PKR juga dilihat sebagai faktor utama negara ini berkedudukan kucar kacir. Akhir kata, nasib Malaysia terletak di tangan pengundi samada mahu Islam dan melayu masih lagi mempunyai kuasa ataupun mungkin kuasa ekonomi dan politik juga akan dipelupori oleh bangsa lain.

Monday, November 28, 2011

JEMPUTAN

ALUMNI KELAB UMNO LUAR NEGARA mempersilakan Tuan/Puan/Sahabat ke:

-Seminar Melayu / Islam Pasca PRU 13

-pada Selasa 29Nov2011

-di PWTC jam 930 pagi - 200 petang.

Panel : 1) YBhg TS Dr Nordin Kardi,

2) YB Dato Zulkifli Nordin,

3) Ybhg Dr Asri Zainal Abidin.

Moderator : Prof Madya Dr Ridzuan Tee Abdullah.

Sunday, November 27, 2011

Salam Maal Hijrah 1433

Apabila tiba tahun baru dalam kalendar masihi seringkali kita mendengar ucapan selamat tahun baru. Akan tetapi apabila tibanya tahun baru dalam kalendar hijrah amat jarang sekali kita mendengar ucapan sebegitu. Malah mungkin ramai yang sudah lupa atau langsung tidak tahu bilakah taikhnya maal hijrah. Atau mungkin ada yang tahu tetapi tidak pasti tahun hijrah yang ke berapa. Begitulah hasilnya apabila kalendar hijrah ini semakin dilupakan. Yang kita ingat hanyalah bulan Syawal dan Ramadhan sahaja. Nasib baik kerajaan malaysia mengisytiharkan maal hijrah sebagai cuti umum.

Semalam (26 November 2011) saya sempat meluangkan masa untuk turut serta bersama-sama menjayakan program Sambutan Maal Hijrah 1433 di Akademi Kenegaraan, Jalan Bellamy anjuran Pertubuhan Penggerak Transformasi Malaysia (PerTaMa). Antara aturcara program ini ialah Pesta Durian & Buah-buahan pada sebelah petang. Dan sebelum maghrib diadakan bacaan Doa Akhir Tahun. Doa Awal Tahun pula dibaca selepas solat maghrib.

Kemudiannya selepas isyak diadakan pula forum yang bertajuk Generasi Al Quran & Masyarakat Rabbani. Forum ini dipengerusikan oleh Ustaz Rosdi Long dan ahli panelnya pula ialah Ustaz Fathul Bari bin Mat Yahya dan Ustaz Muhamad Fauzi bin Asmuni. Mengulas sedikit mengenai generasi Al Quran yang dibahaskan dalam forum ini oleh Ustaz Fathul Bari, generasi Al Quran kini ada 5 langkah untuk berjaya iaitu 1) beriman dengan Al Quran 2) membaca Al Quran 3) memahami maksud Al Quran 4)menghayati Al Quran dan 5) menyebarkan ayat Al Quran. Dan sedikit ulasan mengenai masyarakat Rabbani dalam konteks negara Malaysia ini agak bagus kerana ramai masyarakatnya mengamalkan hidup cara Islam.

Paling mendapat perhatian saya pada program ini ialah Presiden PerTaMa kerana beliau juga adalah bekas Presiden GPMS pada tahun 1972-1974 dan 1978-1983 iaitu Tuan Haji Yusof Suhaimie atau lebih mesra dengan nama panggilan Pak Usop. Dan sudah pasti ini adalah satu pertemuan yang amat bermakna buat saya apabila dapat berdepan dan bersembang bersama-sama beliau. Walaupun agak singkat masa pertemuan dengan beliau tetapi perkongsian ilmu dan pengalaman yang sempat disampaikan amatlah saya hargai. Malah suntikan semangat juga dapat beliau serapkan ke dalam diri saya ini. InsyaAllah kalau ada rezeki pasti kita akan bertemu lagi.

Sesudah selesai program sambutan maal hijrah itu, saya pun ke masjid Sri Petaling dimana terkenal dengan nama Markas Jemaah Tabligh. Buat pertama kalinya saya menjejakkan kaki ini di masjid tersebut setelah sekian lama mendengar cerita dan ajakan kawan-kawan jemaah tabligh mengenai masjid tersebut. Alhamdulillah sambutan maal hijrah saya pada tahun ini dapat saya isikan dengan program ilmu agam ini. InsyaAllah semoga maal hijrah kali ini dapat membuka lembaran baru dalam hidup saya dan kehidupan-kehidupan ummat Islam semuanya.

Tuesday, November 22, 2011

Tahniah Pasukan Malaysia. Semangat semua urusetia KAR 04.

Alhamdulillah..akhirnya selesai juga final exam. Diharapkan saya dan semua kawan seperjuangan samada ahli GPMS atau tidak berjaya dalam peperiksaan kali ini. Peperiksaan ini adalah penentuan untuk kita menilai sejauh mana keberkatan ilmu yang kita perolehi selama 1 semester ini. Insya Allah sama-samalah kita menantikan keputusannya kelak. Mudah-mudahan apa yang kita hajati dapat kita kecapi dengan izin Allah.

Minggu peperiksaan sudahpun selesai maka dengan ini bersambunglah tugas saya dan urusetia yang lain bagi menjayakan program tahunan GPMS UNISEL BJ iaitu program Kembara Alam Rimba (kar 04). Walaupun asalnya tarikh tersebut pada 25hb - 30hb nov 2011 tetapi atas faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan maka kami terpaksa menundakan ia pada 4hb - 9hb Dis 2011. Tetapi walau apa pun terjadi program ini mesti dijalankan juga.

Kepada semua urusetia KAR 04 saya berharap agar kita sama-sama dapat berganding bahu dan bekerja dalam kumpulan sebagaimana pasukan malaysia kita yang berjaya menggenggam emas
dalam temasya sukan sea kali ini. Malaysia yang bermain secara satu pasukan akhirnya dapat mengalahkan Indonesia yang permainannya lebih kepada mengharapkan kepakaran individu. Malah faktor semangat juang yang dipamerkan oleh anak-anak buah Ong Kim Swee ini jugalah yang dapat membuatkan kubu pertahanan Malaysia bertahan walau diasak atau diuji apa cara sekalipun.

Akhir sekali TAHNIAH diucapkan kepada pasukan bola sepak Malaysia dan atlet-atlet malaysia yang lain diatas sumbangan pingat emas juga pingat perak dan gangsa dalam temasya Sukan Sea kali ini. Kepada urusetia-urusetia KAR 04 juga tidak dilupakan agar terus bersemangat bagi menjayakan program.