Followers

Saturday, December 31, 2011

Opah meninggal

Pada tarikh 29hb Dis 2011 anggaran jam 0530 pagi opah aku (Hjh habsah bt Hj Tain) telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumah anaknya yang ke 7 di Machang, Kelantan. Jenazahnya telah dikebumikan di Gelung Pepuyu, Titi Gantung, Perak. Opah ketika kematiannya sudah pun menjangkau 86 tahun.

Opah adalah isteri ketiga Hj Yeop Majlis dan mempunyai 9 orang anak. Cucu-cucu Hj Yeop Majlis isteri pertama dan kedua memanggilnya dengan gelaran Opah Su. Menariknya jenazah opah diimamkan oleh cucunya sendiri. Sungguh bertuahnya Opah.

Semoga opah dicucuri rahmat dan keampunan Allah SWT di sana kelak. Al Fatihah.

Thursday, December 29, 2011

ERA JUNIOR

Akhirnya hajat aku untuk ke Ledang tercapai juga walaupun sudah beberapa kali tergendala sebelum ini. Sekalipun bukan sebagai peserta untuk Eksplorasi Rakan Alam (ERA) tetapi pengalaman sebagai urusetia ERA JUNIOR ini sudah pun membuatkan aku dekat dengan alam semulajadi. Banyak ilmu yang aku dapat pelajari semasa mengendalikan program ini.

ERA JUNIOR ini adalah program motivasi untuk anak yatim dan maahad tahfiz yayasan Al Ijabah. Dengan perkampungan selama 4 hari 3 malam di sana ilmu yang terdapat di dunia ini membukakan mata aku bahawa ilmu ini sangat seronok untuk dipelajari.

Bersama-sama Alumni GPMS UITM Shah Alam memberikan kami urusetia dari GPMS UNISEL BJ ini inspirasi semangat untuk terus memperjuangkan pendidikan anak bangsa. Benarlah seperti yang diperkatakan “sesuatu kaum itu tidak akan berubah melainkan diri mereka sendiri yang merubahnya sendiri”.

‘Terbaik Dalam Segala’ adalah trademark untuk program ERA JUNIOR ini. Dari ayat tersebut sahaja sudah membuktikan bahawa kami selaku urusetia ini dan juga peserta-peserta mahu jadi yang terbaik dalam segala aspek.

Antara otai-otai GPMS yang turun untuk ERA JUNIOR ini adalah seperti Sarjan, Abg Azam, Cikgu Rauf dan juga alumni-alumni GPMS UITM Shah Alam yang lain. Sememangnya masa yang diperuntukkan untuk program ini sangatlah tidak mencukupi untuk kami menimba ilmu dengan mereka.

Perkara paling penting yang aku belajar di sana adalah strategi iaitu bermula dengan niat,diikuti pula dengan perancangan, tindakan dan diakhiri dengan berserah tawakal kepada Allah SWT. Malah aku juga diajar untuk memulakan sesuatu ucapan dengan memuliakan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW.

Thursday, December 15, 2011

Hidup aku dalam GPMS

GPMS telah menyedarkan aku dalam banyak perkara. Sejak aku menyertai GPMS aku dapat ramai kawan, aku dapat banyak ilmu yang tidak diajar didalam kelas, aku dapat belajar untuk uruskan program dan juga menguruskan diri aku sendiri. Bermulanya pembabitan aku dalam GPMS ini adalah pada bulan april 2008 dimana aku telah menyertai satu program Kursus Asas Mahasiswa anjuran Biro Tatanegara dengan kerjasama GPMS. Kursus ini juga sekarang ini dikenali dengan nama Kembara Alam Rimba ataupun KAR.

Bermula dari situ aku mula sedar akan tanggungjawab aku sebagai seorang yang beragama Islam dan berbangsa Melayu. Aku mula sedar akan peranan aku sebagai seorang anak Melayu di bumi Malaysia ini. Aku mula terjebak dengan perjuangan untuk pendidikan anak bangsa melalui GPMS ini. Bagi aku dengan berbekalkan pendidikan sahaja sesuatu bangsa itu dapat merubah nasib bangsanya sendiri.

Aku yang dahulunya tidak pernah terfikir akan nasib bangsa akhirnya telah bergelumang dengan perjuangan yang membabitkan bangsa ini. Perjuangan aku bukan perjuangan bangsa tetapi perjuangan aku adalah perjuangan agama yang mana aku mengikut rentak bangsa. Memang benar perjuangan bangsa ini adalah perjuangan yang salah tetapi tidak salah sekiranya aku ingin memajukan bangsa aku sendiri. Tambahan pula aku adalah rakyat Malaysia yang agama rasminya adalah Islam dan bahasa kebangsaannya adalah bahasa melayu. Dengan berpandukan nama Malaysia sahaja sudah membuktikan yang bangsa Melayu ini adalah majoriti di negara ini. Apabila bangsa ini digugat kedudukannya adalah tidak salah untuk aku mempertahankannya.

Dalam GPMS ini aku belajar unuk mengenal pelbagai ragam manusia terutama sekali membabitkan bangsa aku sendiri. Aku pernah mengikuti program dimana aku menjadi urusetia untuk program di rumah tunas harapan di Kuala Selangor. Aku menjadi sedih akan nasib bangsa aku apabila anak-anak kecil dalam rumah tersebut adalah anak buangan dan anak-anak yang ibu bapanya tidak dapat dikenalpasti. Dalam GPMS juga aku belajar untuk menjadi seorang fasilitator. Aku berguru dengan ramai manusia-manusia hebat dalam GPMS ini.

Pada tahun 2009 aku telah diuji dengan sebagai perantauan di negara orang. Aku yang berbangsa melayu ini duduk keseorangan dikelilingi bangsa-bangsa lain. Pernah suatu ketika aku berjalan di tanah orang aku berjumpa dengan warga negara aku sendiri iaitu orang Malaysia yang berbangsa cina,katanya kepada aku ketika iti yang mana aku masih ingat lagi sehingga kini "wa..orang melayu sekarang manyak pandai wo sudah masuk negara orang..". Perasaan aku ketika itu sangat terguris kerana bagi aku kata-kata sebegitu seperti memperlekehkan bangsa melayu.

Pulang sahaja ke tanah air tercinta ini, aku terus mencari sahabat-sahabat GPMS. Dan kebetulan ketika itu GPMS UNISEL BJ dalam perancangan untuk membuat program di gunung Ledang. Walaupun aku sudah tidak menjadi pelajar UNISEL lagi tetapi aku bertekad untuk join juga program tersebut. Aku menghadirkan diri dalam perjumpaan tersebut dan disyaratkan pula untuk pergi ke program EXJIWA sebelum mendaki Ledang sebagai persediaan awal. Aku turutkan sahaja. Walaupun ketika itu aku sudah tidak belajar di UNISEL tetapi aku masih lagi ingin bersama-sama meneruskan perjuangan dalam GPMS.

Pada awal tahun 2010 aku mendaftarkan diri sebagai pelajar di UNISEL untuk sambung ijazah. Tetapi nasib aku telah dihantar ke UNISEL SHAH ALAM pula. Perkara pertama yang aku cari dalam UNISEL Shah Alam adalah ahli-ahli GPMS. Dan aku mendapat tahu bahawa pada tahun tersebut tidak ada pendaftaran untuk ahli-ahli baru dalam GPMS ketika itu. Tetapi sebagai seorang yang berjiwa GPMS aku tidak mengalah. Asalkan jumpa orang lama sahaja aku akan membuka topik pasal GPMS. Akhirnya usaha kau bertemu hasil. Aku telah diperkenalkan dengan seorang exco GPMS di sana yang mana ketika itu beliau sedang dalam pemprosesan membuat program anjuran GPMS. Aku telah mengofferkan diri aku untuk sama-sama berkhidmat. Aku telah dilantik sebagai ketua publisiti. Walaupun aku tersangatlah baru dikalangan mereka tetapi kepercayaan mereka terhadap aku sangatlah tinggi sehingga aku dilantik sebagai flow manager semasa program.

Semester berikutnya pula fakulti aku telah berpindah ke BJ. Setelah berada di sini aku semakin bersemangat untuk memperjuangkan nasib bangsa aku melalui pendidikan ini. Tetapi keputusan yang aku kecapi semester sebelumnya membuatkan aku terpaksa mengalah bagi membolehkan aku membaiki keputusan aku. Ajakan dan pelawaan dari exco-exco GPMS disini terpaksa aku tolak walaupun berat hati ini. Akhirnya aku berjaya menaikkan pointer aku dari kedudukan bersyarat ke kedudukan baik. Dan aku pun mula kembali aktif dalam GPMS.

Program pertama aku setelah kembali aktif semula adalah program Kursus Asas Fasilitator (KAF) dimana aku telah dilantik sebagai fasilitator. Kemudiannya pula aku dipanggil untuk membantu dalam program KAR 03. Walaupun aku adalah sangat baru dalam organisasi yang ada ketika itu tetapi aku rasakan yang aku dengan mereka bagaikan sudah kenal lama. Malah kepercayaan yang mereka berikan pada aku juga membuatkan aku bertambah sayang kepada GPMS.

Sehingga kini perasaan aku kepada GPMS ini seperti tajuk blog ini iaitu semakin hari semakin sayang.

Sunday, December 11, 2011

KAR 04 accomplish

Salam perjuangan buat pembaca sekelian. Akhirnya program KAR 04 sudah pun selesai dengan jayanya. Walaupun banyak halangan dan cabaran sebelum menjayakannya tetapi Alhamdulillah berkat usaha dan kerjasama semua urusetia KAR 04 ini dapat juga berjaya menghabiskan misinya iaitu mencari pelapis-pelapis baru.

InsyaAllah jika ada kesempatan masa Pak Abu akan menceritakan bagaimanakah keadaan dan situasi sepanjang berlangsungnya KAR 04. Apa-apa pun Pak Abu ingin memohon maaf jika sepanjang program berlangsung Pak Abu ade buat salah silap atau mengguris hati dan Pak Abu juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang menjayakan program ini.

Tuesday, November 29, 2011

Seminar Agenda Melayu

Seminar Agenda Melayu Ke 7 : Islam & Melayu Pasca PRU 13. Inilah nama forum yang telah saya ikuti pada hari ini. Bertempat di Dewan Seri Endon,tingkat 23,Menara Dato' Onn, PWTC bersempena dengan Persidangan Agung UMNO. Forum ini telah dianjurkan oleh Pertubuhan Alumni Kelab-kelab UMNO Luar Negara dan dirasmikan oleh YB Datuk Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi iaitu naib presiden UMNO yang juga Menteri Pertahanan Malaysia.

Kira-kira 100 orang peserta telah mengikuti forum ini dari awal sampai habis yang mana ianya berlangsung selama lebih 3 jam. Forum ini telah dipaneli oleh YBhg Prof Tan Sri Dr Nordin Kardi iaitu penyandang kerusi Za'aba UPSI dan juga merupakan bekas Presiden GPMS pada tahun 1995 - 1997, YB Datuk Zulkifli Nordin iaitu Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru yang juga merupakan Naib Presiden PERKASA, Prof Madya Dr Asri Zainul Abidin iaitu Mantan Mufti Perlis. Moderatornya pula adalah Prof Madya Dr Mohd Ridwan Tee Abdullah iaitu Pensyarah Kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia yang juga penulis buku 'Nasib Melayu di Bumi Melayu'.

Antara isu-isu yang sempat dibangkitkan semasa seminar tadi yang saya masih ingat lagi ialah pemimpin-pemimpin UMNO ataupun wakil-wakil rakyat dari komponen BN yang menang PRU 12 mempunyai tindak-tanduk seperti orang kalah. Malah ada juga suara peserta yang mahukan transformasi hendaklah dibuat bukan saja di peringkat rakyat tetapi di peringkat kepimpinan juga hendaklah ditransformasikan juga keran rakyat sudah muak dengan kepimpinan yang sedia ada. Ada juga yang mencadangkan agar Majlis Ulama hendaklah ditubuhkan semula dalam UMNO.

Adalah amat bersesuaian Program seperti ini diadakan di saat nasib bangsa dan seagama kita sekarang ini amat tercabar. Tujuan forum ini diadakan juga adalah untuk mengumpul dan mencari kaedah dan cara untuk mempastikan negara ini sentiasa aman dan makmur di samping tidak mengenepikan atau menafikan hak dan perasaan bangsa lain yang turut serta membangunkan negara ini. Di forum ini juga ada dibahaskan agar kesepakatan antara UMNO dan PAS hendaklah dicapai supaya nasib agama islam dan bangsa melayu di negara ini tidak dapat digugat oleh agama dan bangsa yang lain. Tidak kira apa keadaan sekalipun, PAS dan UMNO ini hendaklah duduk semeja apabila ada isu yang berkaitan dengan Islam dan melayu dibangkitkan. Setuju atau tidak itu belakang cerita asalkan ketolak-ansuran kedua-dua parti ini untuk duduk semeja dapat dilihat oleh rakyat dan parti-parti lain.

Pengharapan rakyat kepada UMNO juga dapat dilihat sekarang ini sudah berkurangan. UMNO yang dulunya dapat memberi harapan kepada rakyat dilihat sekarang ini sebagai sudah tidak relevan dan pengharapan itu beralih kepada parti pembangkang yang sering menaburkan janji-janji. Malah penubuhan PKR juga dilihat sebagai faktor utama negara ini berkedudukan kucar kacir. Akhir kata, nasib Malaysia terletak di tangan pengundi samada mahu Islam dan melayu masih lagi mempunyai kuasa ataupun mungkin kuasa ekonomi dan politik juga akan dipelupori oleh bangsa lain.

Monday, November 28, 2011

JEMPUTAN

ALUMNI KELAB UMNO LUAR NEGARA mempersilakan Tuan/Puan/Sahabat ke:

-Seminar Melayu / Islam Pasca PRU 13

-pada Selasa 29Nov2011

-di PWTC jam 930 pagi - 200 petang.

Panel : 1) YBhg TS Dr Nordin Kardi,

2) YB Dato Zulkifli Nordin,

3) Ybhg Dr Asri Zainal Abidin.

Moderator : Prof Madya Dr Ridzuan Tee Abdullah.

Sunday, November 27, 2011

Salam Maal Hijrah 1433

Apabila tiba tahun baru dalam kalendar masihi seringkali kita mendengar ucapan selamat tahun baru. Akan tetapi apabila tibanya tahun baru dalam kalendar hijrah amat jarang sekali kita mendengar ucapan sebegitu. Malah mungkin ramai yang sudah lupa atau langsung tidak tahu bilakah taikhnya maal hijrah. Atau mungkin ada yang tahu tetapi tidak pasti tahun hijrah yang ke berapa. Begitulah hasilnya apabila kalendar hijrah ini semakin dilupakan. Yang kita ingat hanyalah bulan Syawal dan Ramadhan sahaja. Nasib baik kerajaan malaysia mengisytiharkan maal hijrah sebagai cuti umum.

Semalam (26 November 2011) saya sempat meluangkan masa untuk turut serta bersama-sama menjayakan program Sambutan Maal Hijrah 1433 di Akademi Kenegaraan, Jalan Bellamy anjuran Pertubuhan Penggerak Transformasi Malaysia (PerTaMa). Antara aturcara program ini ialah Pesta Durian & Buah-buahan pada sebelah petang. Dan sebelum maghrib diadakan bacaan Doa Akhir Tahun. Doa Awal Tahun pula dibaca selepas solat maghrib.

Kemudiannya selepas isyak diadakan pula forum yang bertajuk Generasi Al Quran & Masyarakat Rabbani. Forum ini dipengerusikan oleh Ustaz Rosdi Long dan ahli panelnya pula ialah Ustaz Fathul Bari bin Mat Yahya dan Ustaz Muhamad Fauzi bin Asmuni. Mengulas sedikit mengenai generasi Al Quran yang dibahaskan dalam forum ini oleh Ustaz Fathul Bari, generasi Al Quran kini ada 5 langkah untuk berjaya iaitu 1) beriman dengan Al Quran 2) membaca Al Quran 3) memahami maksud Al Quran 4)menghayati Al Quran dan 5) menyebarkan ayat Al Quran. Dan sedikit ulasan mengenai masyarakat Rabbani dalam konteks negara Malaysia ini agak bagus kerana ramai masyarakatnya mengamalkan hidup cara Islam.

Paling mendapat perhatian saya pada program ini ialah Presiden PerTaMa kerana beliau juga adalah bekas Presiden GPMS pada tahun 1972-1974 dan 1978-1983 iaitu Tuan Haji Yusof Suhaimie atau lebih mesra dengan nama panggilan Pak Usop. Dan sudah pasti ini adalah satu pertemuan yang amat bermakna buat saya apabila dapat berdepan dan bersembang bersama-sama beliau. Walaupun agak singkat masa pertemuan dengan beliau tetapi perkongsian ilmu dan pengalaman yang sempat disampaikan amatlah saya hargai. Malah suntikan semangat juga dapat beliau serapkan ke dalam diri saya ini. InsyaAllah kalau ada rezeki pasti kita akan bertemu lagi.

Sesudah selesai program sambutan maal hijrah itu, saya pun ke masjid Sri Petaling dimana terkenal dengan nama Markas Jemaah Tabligh. Buat pertama kalinya saya menjejakkan kaki ini di masjid tersebut setelah sekian lama mendengar cerita dan ajakan kawan-kawan jemaah tabligh mengenai masjid tersebut. Alhamdulillah sambutan maal hijrah saya pada tahun ini dapat saya isikan dengan program ilmu agam ini. InsyaAllah semoga maal hijrah kali ini dapat membuka lembaran baru dalam hidup saya dan kehidupan-kehidupan ummat Islam semuanya.